Home
Catatan Akhir Pekan
Catatan Akhir Pekan ke-327
“Hikmah dari Puisi Prof. Wan Mohd Nor”
Jum'at, 24 Februari 2012
Oleh: Dr. Adian Husaini
BUKU kumpulan puisi Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud yang berjudul “Mutiara Taman Adabi: Kumpulan Puisi Mengenai Agama, Filsafat dan Masyarakat", (Kota Bharu: Dian Darulnaim, 2003) sudah bertahun-tahun tersimpan diperpustakaan pribadi saya. Sudah beberapa kali buku ini saya baca. Ada banyak hikmah yang bisa kita petik dari buku yang diberi kata sambutan oleh salah satu sastrawan terkemuka Malaysia, Mohd Affandi Hassan, ini.
Berikut ini kita petikan sejumlah hikmah yang sarat makna dari sejumlah puisi Prof. Wan Mohd Nor. Saya merasa tidak perlu memberikan syarahan terhadap puisi-puisi berikut ini, karena maknanya cukup gamblang dan jelas, meskipun tetap memerlukan perenungan yang mendalam untuk menghayatinya.
Prof Wan Mohd Nor kini menduduki jabatan penting sebagai Direktur Center for Advanced Studies on Islam, Science, and Civilisation (CASIS) di Universiti Teknologi Malaysia. Semoga kita mampu mengambil hikmah untuk menghadapi berbagai tantangan pemikiran yang carut-marut di negeri kita akhir-akhir ini.
1. “Puyuh dengan Helang”
Bijak pandai kita pernah mengarang Ketinggian pokok, hanya diketahui helang Puyuh tidak mampu terbang, hanya tahu dalamnya hutan Ilmuwan palsu seperti puyuh di puncak Meranti bertanya helang: “Kenapa kau bersusah payah membina sarang di atas awan? Lebih mudah membina rumah di celah semak di atas tanah.” Helang senyum menjawab senang, tidak gelabah: “Mataku nan tajam diamanah menjaga alam Daripada tikus, ular dan perosak sekalian.” …... Ilmuwan tiruan seperti puyuh mencuri paruh dan sayap helang Ijazah berjela, kajian merata, kerusi diduduki tidak terbilang, Bagi penguasa dan pentadbir yang dilatih mereka semua Ilmuwan sebegini hanya menjaja nama dan mengulangi kata. …… Wahai temanku sekalian Janganlah menjadi ilmuwan palsu tiruan Syukurilah nikmat Tuhan, redalah pada-Nya Jika takdirmu seekor puyuh, lakukan tugasmu patuh setia Biarlah helang terbang bebas menjaga padang dan taman Kerana hasadlah iblis Khalid di neraka jahannam. (***)
2. “Ayatullah Ruhullah Khomeini”
Kejayaanmu amat besar bagi umat kita di akhir zaman Dengan kata-kata dan bunga kau runtuhkan sebuah Kerajaan Cengkaman kejam boneka ganas mengguna kuasa emas hitam Dengan SAVAKnya puluhan ribu pengikutmu terkorban ….. Aku ingin bertanya gembirakah kau di Sana? Melihat wilayah faqihmu pegangan ulama gilakan kuasa Fuqaha kau maksudkan bukan ulama buatan sekarang Yang mengerti sedikit hadis, hukum dan ayat al-Qur’an. Sikap melampau: mereka terpenjara dalam mazhab Ta’assub sangat kepada Ali, mereka lupa akan Muhammad. ….. Gembirakah kau di Sana melihat republik ciptaan Semakin matang dalam catur kekuasaan, namun: Setelah hampir tiga dekad Semakin ramai kehilangan I’tiqad Mereka konon menghafal Sadra, Sa’di dan Maulana Tapi jiwa menyembah Comte, Foucoult, dan Sartre.
Kita harus setia kepada Mustafa dan Tuhannya nan baqa Apa untungnya terus bertengkar siapa berhak menjadi Raja? Jika Bu Bakar, Umar, Uthman, A’isyah diragui kalian Bolehkah kami, yang lebih adna, lebih hina, dibuat kawan? (***)
3. “Mustafa Kemal Ataturk”
Kejayaan besarmu di medan perang, malang Menjadi pendorong kegagalanmu di lain bidang Kau berjaya menjaga kesatuan, menghalau musuh luaran Kau gagal mengukuh bangsa, menggali khazanah dalaman
Mustafa Kemal, kau tersilap besar menganggap kekuatan Barat Berdasarkan peluru bedil, kereta kebal, tali leher, membuka aurat Huruf Latin, kau duga, membantu Eropah menjadi kuat Lalu kau memaksa rakyat menolak lisan Uthmani, berteras Arab Berjuta lampu di Sulaymaniyyah dan segenap tempat menjadi gelap Dalam satu hari kau padamkan cahaya hasilan ilmu puluhan abad …… Setelah seratus tahun Kemalisme memaksa bangsa meniru orang Negaramu, walau Eropah dalam pakaian, kebebasan, perundangan, Namun mereka enggan terima rayuan bangsamu masuk ke dalam Walau jutaan rakyatmu menyapu jalan di Frankfurt, dan Leiden. Hajji Baba, Baklava, Kebab Turki begitu laris di kota Paris Barat masih menganggap bangsama tidak sama, tidak sebaris
Tidakkah kau ingat pesanan Rabbul Jalil bahawa Yahudi dan kaum Nasara Tidak akan sekali-kali redha Dan akan terus mencari helah, buat angkara Selagi kau enggan menuruti millah mereka
Dan jika kau mengikuti ke lubang biawak, ke sarang lebah Kau sebenarnya sudah lama menyerah kalah Lagipun millah mereka sering berubah Tiada sesuatupun kekal, kecuali nafsu memerintah. (***)
4. “Bung Karno”
Bung Karno, kau pejuang besar pemidato unggul seperti Zuhair Kau, Hatta sekalian kawan menyatu bangsa dari Sabang ke Merauke Kita bangsa besar dari umat nan agung; namun tidak seperti jagung Kemerdekaan bukan menghalau musuh dari negeri dan kampung Kemerdekaan bukan mengibar bendera Mengingat peristiwa gembira Kemerdekaan bukan berbarisan berwarna-warni Berpesta menyanyi mabuk hingga ke pagi
Kemerdekaan mencari makna raison d’etre Sebagai insan khalifah Tuhan, mengurus alam semesta Mencerah hati dari kegelapan kejahilan, Membebas budi dari kesempitan bakhil, kedayusan ….. Bung Karno, umat yang besar ini berupaya Menenggelam benua Hanya dengan air mata Jika semua kita Bersatu dipimpin jantan berakal perkasa Kita jalinkan semula Kepulauan ini: Putrajaya, Sri Begawan, Jakarta Dengan persaudaraan ikatan iman dan keadilan berbekas Yang disemai di Madinah bukanLOndon atau Brussels Untuk menjadi ikutan, memikul semula perjuangan terkandas
Aku terfikir nasib bangsa besar Kepulauan ini jika Kau mendampingi mesra Raniri, Makasari, Natsir , Hamka Pelbagai kemungkinan indah bermain di kalbu Menempah sejarah seekor garuda bukan belkatu.
5. “Agama dan Evolusi”
Jika Aflatun melihat kita Dia ‘kan menista Darwinis semua Ribuan tahun panjang usia Masih menonton bebayang didinding gua Kejahilan gelap dianggapnya cahaya Fana yang hapus disangka baqa ……. Mustafa tiada ‘kan kembali lagi Khatamun Nabi selesailah misi Khazanah baginda perlu digali Abad ketujuh tetap penuh berisi Tinggal kita mengambil erti
Erti agama pegangan akal Jiwa dibangun berisi amal Pantang diisi ikhlas si jubbal Bukan ciptaan khayalan dangkal Tapi berakar ilmu dan kamal Anugerah Khaliq sebagai bekal
Maka wahai yang terpelajar! Janganlah sombong dan kurang ajar Agama itu ilmu nan benar Cahaya terang bersinar-sinar Bagi menyuluh kembara sukar Pulang ke pangkuan Khaliq Akbar (***)
6. “Raden Ajeng Kartini”
Wanita bangsawan Jepara ternyata patut dibagga bangsa Aku dari jauh terhidu mawar disanggul, betapa wanginya! ….. Kau sedar kekuatan ilmu membebas jiwa, membina bangsa Namun, pandanganmu setajam helang, menolak sekerasnya: Pendidikan yang sibuk melatih anggota, menguat otak Dan mengabaikan peningkatan adab, lalai mengukuh akhlak! …. Jika kau hidup pada zamanku ini Raden Kartini Tentu kau akan banyak menangis, meratapi Kaummu wanita tidak lagi mahu terbang tinggi Mencari ilmu, berbakti perbaiki bangsa sendiri.
Mereka mudah mengulangi slogan manis dari Barat Sering menghina tradisi sendiri kerana tidak mengerti hikmat Keluarga pecah berkecai kerana ibu-bapa begitu cuai Anak-anak melepak-liar walau ibu berijazah pandai
Suasana kebangkitan Islam, ramai Hawa ikhlas menutup aurat Meningkat ilmu ajaran Nabi, hikmat tabi’i difaham tepat Walau jawatan tinggi di pejabat, suami di rumah disanjung amat Namun, kerap terjadi, rambut ditudungi rapat, budi rendah sangat; Lebih menghairankan: yang jahil, hati gelap, enggan dinasihat. Dada didedah bangga: aku penafsir Kitab, pembela Muslimat! (***)
7. “Ilmuwan Tiruan dan Sufi Palsu” ….. Sufastaiyyah membunuh hujah sendiri Bila menolak mutlak ilmu milik insani Merosak akal, aqidah, agama, sekalian hikmat anugerah Ilahi Bila mereka berteriak-gila: “ilmu manusia semuanya nisbi.” “Hanya Allah yang mutlaq dan ilmu-Nya yang kekal abadi.”
Sungguh bebal sufastaiyyah ini: ilmu yaqini nur minal-Llahi Walaupun bertempat di akal insani, sumbernya tetap di Alam Suci.
Ilmu syakki membawa jiwa Meronta-ronta penuh derita. Tiada tetap berpegang Setiap masa bergoyang
Sekali ke sini, sekali ke sana berubah sentiasa Bagai lalang ditiup angin: mudah mengikut telunjuk penguasa.
Ilmu zanni sedikit berbeza: pilihan dibuat tanpa yakin jua Hanya agak-agakan yang tidak pasti salah benarnya. Seperti sesetengah umatku ini: Islam disayanginya tanpa bukti qat’i akli Akhlak, syariat ditafir, diamal sesuka hati Menyata cinta pada istri, wanita lain masih dicari. Mengaku berimamkan Nabi, akhlak mengikut Machiavelli.
8. “Aku bimbang, khuatir” …. Aku takut umat kita tidak akan bangkit lagi Walau ekonomi melambung tinggi Umatku sibuk membeli saham menjual budi Anggap sekolah, madrasah tidak bererti jika gagal meningkat gaji Universiti tidak dinilai secara insani, hanya patuh nafsu industri Yang sering berubah mengikut pasaran Pasaran berubah mengikut perasaan ….. Bagaimana kita akan bangkit semula Memimpin dunia mendapat syurga? Jika ibu-bapa pintar melahir anak cuma Jika pelajar hanya mahu lulus periksa dan cari kerja Jika guru, pensyarah kehilangan arah Ilmu terpaku di dada ijazah Jika peniaga bermain politik, bertuhankan laba Ahli politik memperniaga prinsip dan akhlak segala Jika cendekiawan cuma mengikut dan membuat komentar – Cekap mengubah fakta, meminda makna, mengejar kuasa Adam akan menyesal Dan Iblis berkenduri besar.*/Depok, 23 Februari 2012
Penulis, dosen Pasca Sarjana Universitas Ibn Khaldun Bogor. Catatan Akhir Pekan [CAP], adalah kerjasama Radio Dakta 107 FM dan hidayatullah.com
Red: Cholis Akbar
|